Prospek Matang dan Kuala Sepetang sebagai pusat pelancongan adalah tinggi kerana terdapat begitu banyak sumber menarik yang boleh diketengahkan di kedua-dua tempat ini. Bagaimanapun sumber-sumber yang ada sehingga ini masih belum dibangunkan secara bersepadu dan juga tidak disokong dengan kemudahan dan perhubungan mahupun publisiti yang sewajarnya.
Namun menyedihkan kerana ada peninggalan sejarah di Matang yang tidak dipelihara dengan baik dan ada kesan sejarah yang berkaitan dengan Port Weld juga kian hilang. Ini satu isu utama dalam pembangunan Matang dan Kuala Sepetang. Banyak yang pihak berkuasa tempatan harus lakukan untuk mengelakkan masalah ini daripada terus berlaku. Sayang sejarah kegemilangan Kuala Sepetang ini akan hilang jika tidak dilakukan sesuatu bermula dari sekarang.
Pencerobohan hutan paya laut sudah berlaku dan akan terus berlaku jika tidak dikawal sewajarnya. Pembangunan yang tidak terkawal akan mengancam hutan paya laut yang menyokong aktiviti perikanannya. Akhirnya akan terjejas sekiranya keadaan sedemikian dibiarkan berlarutan.
Sementara keadaan penempatan yang sesak dan tidak teratur menyukarkan penyediaan kemudahan dan sistem perkhidmatan yang berkesan. Mengambil peluang daripada prospek dan menangani isu yang ada, perancangan yang khusus perlu dibuat bagi Matang dan Kuala Sepetang.
Khabarnya satu Rancangan Kawasan Khas (RKK) Matang Kuala Sepetang 2015 disediakan sebagai satu pelan tindakan bagi membangunkan Matang dan Kuala Sepetang. RKK ini disediakan dengan kerjasama Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Perak dan Majlis Perbandaran Taiping. Rancangan Kawasan Khas adalah merupakan satu rancangan statutori yang disediakan di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976, Akta 172. Akta ini memperuntukkan supaya RKK mengandungi cadangan-cadangan tindakan khusus yang terperinci bagi tujuan memajukan, memajukan semula, memperelokkan, memulihara atau bagi tujuan pengurusan kawasan berkenaan.
RKK Matang Kuala Sepetang menganjurkan supaya pembangunan bagi kawasan Matang dan Kuala Sepetang bertemakan Desa Pelancongan Warisan. Wawasan utamanya untuk menjadikan Matang dan Kuala Sepetang sebagai kawasan desa pelancongan warisan yang berdaya maju selaras dengan Wawasan Perak Maju 2015. Dalam merangka rancangan ini beberapa perkara menjadi asas pertimbangan;
• Pengekalan alam semulajadi, tumbuh-tumbuhan dan keadaan persekitaran. • Penekanan kepada elemen pelancongan, reka bentuk perbandaran, landskap dan rekreasi. • Pemeliharaan bangunan warisan dan kesan-kesan sejarah yang penting.
Semoga dengan adanya kesedaran dalam memelihara semula warisan negeri ini melalui penubuhan Rancangan Kawasan Khas Matang Kuala Sepetang ini dapat menambah lagi kedatangan pelancong dalam dan luar negara ke sana. Dengan itu pengaliran wang akan bertambah untuk faedah negeri juga.
No comments:
Post a Comment