Friday, May 21, 2010

Thursday, May 13, 2010

Sepetang di Sungai Sepetang



Lawatan Kerja Setiausaha Bahagian Sumber Air, Saliran dan Hidrologi ke Tapak Kajian


Pada 30 Mac 2010, En. Baba bin Hasan, Setiausaha Bahagian Sumber Air, Saliran dan Hidrologi (BSASH) telah mengadakan lawatan ke tapak kajian penerobosan air masin di Kuala Sepetang, Perak. Beliau telah diiringi oleh En. Othman bin Asmaon, Ketua Penolong Setiausaha BSASH dan dua orang pegawai di bahagian tersebut.


Perjalanan selama 4 jam dari Putrajaya telah membawa rombongan BSASH ke Pusat Eco Pelajaran Hutan Paya Laut Matang, Kuala Sepetang dan tiba di lokasi pada jam 12 tengah hari. Puan Hjh. Zalilah Selamat, Pengarah Pusat Kajian Sungai selaku wakil Ketua Pengarah NAHRIM dan pegawai‐pegawai dari Pejabat Hutan Daerah Larut Matang dan Jabatan Pengairan dan Saliran Daerah Larut Matang telah menyambut ketibaan rombongan tersebut.
Lawatan selama satu hari ini telah dimulakan dengan kata‐kata aluan dan pengenalan kajian yang telah disampaikan oleh Puan Hjh. Zalilah Selamat dan diikuti dengan taklimat penyelidikan penerobosan air masin oleh Cik Nurlailah Abdillah selaku ketua projek kajian tersebut. Ahli‐ahli rombongan telah dibentangkan dengan latar belakang kajian, status semasa dan kepentingan kajian tersebut kepada pemuliharaan ekosistem sungai.


Selesai sesi taklimat, rombongan telah dibawa melawat ke stesen aras air yang telah ditempatkan di Jeti Pejabat Hutan Daerah Larut Matang dan seterusnya dibawa menyusuri
Sungai Sepetang dengan menaiki bot yang telah disediakan oleh Jabatan Perhutanan Kuala Sepetang untuk melihat populasi pokok berembang di sepanjang sungai tersebut.


Penyelidikan penerobosan air masin di Kuala Sepetang ini merupakan projek kajian di bawah Rancangan Malaysia ke‐9 dan dijangka laporan kajian dapat dilengkapkan pada penghujung tahun ini. Kuala Sepetang dipilih sebagai lokasi kajian kerana ia telah dikenal pasti sebagai lokasi tumpuan habitat kelipkelip iaitu pohon berembang yang tumbuh di tebing Sungai Sepetang. Atas faktor pemeliharaan kelipkelip yang mempunyai nilai estetika dan tarikan tersendiri kepada pelancong, pemeliharaan dan pemuliharaan terhadap ekosistem di sungai tersebut perlu diberi perhatian sewajarnya dan tindakan awal perlu diambil bagi mengelakkan gangguan kepada ekologi pohon berembang. Pertumbuhan kawasan perindustrian, perumahan dan pertanian di kawasan tadahan Sungai Sepetang mungkin memberi impak negatif kepada ekologi di kawasan hutan paya laut tersebut. Justeru, dengan kajian yang dijalankan ini output daripada kajian ini dapat membantu pihak‐pihak berkaitan dalam pengurusan dan pembangunan sungai tersebut.


Sesi lawatan berakhir pada jam 6.00 petang dan semua ahli rombongan telah dihidangkan dengan juadah mee udang yang merupakan tarikan utama di Kuala Sepetang ini sebelum berangkat pulang. Pihak NAHRIM amat berterima kasih kepada SUB BSASH atas kesudian melawat ke tapak kajian ini dan kepada pihak‐pihak yang membantu dalam memastikan program lawatan ini berjalan lancar.