Saturday, November 11, 2023

Kosmo

KHAIRUL SALLEH (tengah) memberi penerangan kepada pelancong mengenai industri ikan sangkar di Kuala Sepetang.

BUKIT GANTANG – Kuala Sepetang atau dahulunya le­bih dikenali sebagai Port Weld kini menjadi antara destinasi ekopelancongan popular di Pe­rak yang menyediakan lawatan pendidikan melalui pelayaran menaiki bot selama 90 minit.

Pengusaha bot merangkap pemandu pelancong, Khairul Salleh Ahmad, 58, berkata, terdapat 14 destinasi menarik di sekitar Kuala Sepetang dan 13 destinasi daripadanya memerlukan penggunaan bot untuk dijelajah.

“Pelayaran menggunakan bot selama 90 minit ini bukan sekadar membawa para pelancong menikmati pemandangan di sekitar perairan Kuala Sepetang, malah turut diisi dengan pelbagai informasi pendidikan.

“Antara lokasi yang dibawa ialah ke tempat Pusat Eko Pelajaran Hutan Paya Laut Matang, tempat pemerhatian burung, kilang arang, industri penternakan kerang dan lawatan sangkar ikan,” katanya kepada Kosmo!.

Menurutnya, kebanyakan pelancong yang datang bercuti bersama keluarga mereka di Kuala Sepetang tidak akan melepaskan peluang untuk menaiki bot bagi menyaksikan sendiri keindahan pemandangan yang terdapat di sekitar kawasan tersebut.

“Sepanjang pelayaran itu, pelancong akan dibawa untuk melihat helang merah, bangau, pekaka dan hidupan marin.

“Pelancong juga akan diberi penerangan mengenai jenis-jenis kayu bakau di kawasan ini serta kepentingan pokok kayu bakau yang perlu dipelihara,” katanya.


Seorang pelancong, Aishah Harben, 77, berkata, segala penjelasan dan informasi yang diberikan pemandu pelancong dalam sesi pelayaran merupakan pe­ngalaman amat berharga.

Katanya, dia sudah melawat beberapa lokasi hutan paya bakau di dalam dan luar negara, namun yang membezakan tempat lain dan Kuala Sepetang adalah pengisian informasi yang diberikan pemandu pelancong.

“Saya bersama rakan-rakan amat berpuas hati bercuti di tempat ini kerana bukan sahaja disajikan dengan pemandangan menarik sepanjang pelayaran, malah dikenalkan dengan pelbagai spesies pokok kayu bakau.

“Ia termasuklah ditunjukkan bagaimana sebenarnya benih bakau ini boleh membiak dan dibiakkan. Ia adalah sesuatu yang amat menarik pada panda­ngan saya,” ujarnya.

Vivian Ooi, 69, berkata, percutianya ke Kuala Sepetang bersama sahabat handainya merupakan satu pengalaman yang amat berharga buat mereka.

“Bukan sahaja dapat menyaksikan kehidupan liar marin, tetapi juga dibawa untuk menyaksikan sendiri tempat penternakan ikan sangkar serta tempat pembuatan kayu arang.

“Selain itu, kami diberi informasi tentang kehidupan pokok kayu bakau iaitu tentang keluasan hutannya, penggunaan serta turut ditunjukkan bunga dan benih pokok kayu bakau yang jarang diketahui umum,” katanya. -KOSMO! ONLINE