Monday, June 29, 2009

Matang Dan Kuala Sepetang

MATANG dan KUALA SEPETANG adalah dua penempatan kecil yang terletak dalam daerah Larut Matang, Perak, letaknya lebih kurang 15 km dari Bandar Taiping. Matang terletak dalam Mukim Simpang manakala Kuala Sepetang dalam Mukim Jebong. Dari segi pentadbiran, kedua-duanya adalah di bawah Majlis Perbandaran Taiping.

Penduduk Kuala Sepetang sebahagian besarnya masyarakat Cina yang sudah lama berkecimpung dalam bidang perikanan sebagai nelayan dan peniaga. Sementara majoriti penduduk Matang adalah orang Melayu yang bekerja di sektor pertanian dan perikanan.



Kota Ngah Ibrahim di Matang

Papan Tanda Port Weld di Kuala Sepetang

Kedua-dua Matang dan Kuala Sepetang merupakan petempatan yang unik. Matang adalah pekan Melayu lama yang wujud sebelum pembukaan Taiping. Kota Ngah Ibrahim, Rumah Kapten Speedy, Balai Penghulu dan Masjid Tengku Menteri adalah beberapa contoh bangunan bersejarah yang masih wujud dan terpelihara di Matang. Rumah Majistret Pertama, Sekolah Rendah Terawal dan Rumah Pam Minyak Pertama adalah antara bangunan warisan yang dikenal pasti menjadi bangunan terpenting pada zaman dulu sebagai tonggak utama pembentukan pekan Matang ketika zaman pemerintahan Ngah Ibrahim(1836-1895).

Kuala Sepetang pula menjadi pusat aktiviti perikanan yang dinamik dan berkedudukan istimewa di muara Sungai Sepetang dan di kawasan Hutan Paya Laut Matang. Kuala Sepetang dan Hutan Paya Laut Matang, tidak asing bagi pencinta alam di dalam dan luar negara.

Pusat Eko Pelajaran Hutan Paya Laut Matang yang terletak di Kuala Sepetang menjadi destinasi yang amat popular di kalangan kumpulan ini dan juga golongan pelajar yang menggunakan kemudahan perkhemahan di sini. Hutan Paya Laut Matang pula destinasi utama eko pelancongan negeri Perak malah ia juga tersenarai dalam Pelan Eko Pelancongan Kebangsaan. Lawatan pelancong dan pengunjung luar tertumpu kepada Pusat Eko Pelajaran Hutan Paya Laut Matang, kilang dapur arang dan aktiviti menyusuri sungai.

Kuala Sepetang juga signifikan dari segi sejarah iaitu Port Weld yang dulunya sebuah pelabuhan terawal dan memiliki landasan keretapi pertama di negara ini yang enghubungi Port Weld dengan Taiping. Prospek Matang dan Kuala Sepetang sebagai pusat pelancongan adalah tinggi kerana terdapat begitu banyak sumber menarik yang boleh diketengahkan di kedua-dua tempat ini.

Bagaimanapun sumber-sumber yang ada sehingga ini masih belum dibangunkan secara bersepadu dan juga tidak disokong dengan kemudahan dan perhubungan mahupun publisiti yang sewajarnya. Ada peninggalan sejarah di Matang yang tidak dipelihara dengan baik dan ada kesan sejarah yang berkaitan dengan Port Weld juga kian hilang. Ini satu isu utama dalam pembangunan Matang dan Kuala Sepetang.

Pemeliharaan ikan dalam sangkar berkembang pesat di atas kawasan pembangunan yang terhad disebabkan oleh kedudukannya di tengah-tengah hutan paya laut. Pencerobohan hutan paya laut sudah berlaku dan akan terus berlaku jika tidak dikawal sewajarnya. Pembangunan yang tidak terkawal akan mengancam hutan paya laut yang menyokong aktiviti perikanannya. Akhirnya akan terjejas sekiranya keadaan sedemikian dibiarkan berlarutan.

Sementara keadaan penempatan yang sesak dan tidak teratur menyukarkan penyediaan kemudahan dan sistem perkhidmatan yang berkesan. Mengambil peluang daripada prospek dan menangani isu yang ada, perancangan yang khusus perlu dibuat bagi Matang dan Kuala Sepetang.

Dengan itu satu Rancangan Kawasan Khas (RKK) Matang Kuala Sepetang 2015 disediakan sebagai satu pelan tindakan bagi membangunkan Matang dan Kuala Sepetang. RKK ini
disediakan dengan kerjasama Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Perak dan Majlis Perbandaran
Taiping.

RKK ini seharusnya dijadikan panduan dan rujukan bagi Majlis Perbandaran Taiping selaku Pihak Berkuasa Perancang Tempatan dan agensi-agensi pelaksana dalam membangunkan dan menguruskan kawasan Matang dan Kuala Sepetang. Rancangan Kawasan Khas adalah merupakan satu rancangan statutori yang disediakan di bawah Akta
Perancangan Bandar dan Desa 1976, Akta 172. Akta ini memperuntukkan supaya RKK mengandungi cadangan-cadangan tindakan khusus yang terperinci bagi tujuan memajukan, memajukan semula, memperelokkan, memulihara atau bagi tujuan pengurusan kawasan berkenaan.

RKK Matang Kuala Sepetang menganjurkan supaya pembangunan bagi kawasan Matang dan Kuala Sepetang bertemakan Desa Pelancongan Warisan. Wawasan utamanya untuk menjadikan Matang dan Kuala Sepetang sebagai kawasan desa pelancongan warisan yang berdaya maju selaras dengan Wawasan Perak Maju 2015. Dalam merangka rancangan ini beberapa perkara menjadi asas pertimbangan;
• Pengekalan alam semulajadi, tumbuh-tumbuhan dan keadaan persekitaran.
• Penekanan kepada elemen pelancongan, reka bentuk perbandaran, landskap dan rekreasi.
• Pemeliharaan bangunan warisan dan kesan-kesan sejarah yang penting.

Saturday, June 20, 2009

Air Nira Nipah Kg Dew

Jika melalui jalan lama Ipoh-Butterworth, lokasinya berhampiran dengan Homestay Pak Man dan hanya satu kilometer dari Plaza Tol Kamunting. Inilah satu-satunya kedai menjual air nira nipah di Taiping, Perak (rasanya) kerana air ini terkenal di kawasan utara tanahair sahaja.

Nak cari air nira nipah? Senang aje. Abang G ada membuka sebuah kedai makan di Kg Dew, Kamunting, Taiping, Perak.

Di samping itu beliau juga menjual mi udang, laksa, bihun sup dan ABC. Cuka nipah juga dijual mengikut tempahan yang diperolehi. Harga air nipah agak mahal RM 2.50 segelas, tetapi bagi yang tahu bagaimana susahnya tugas mendapatkan air ini mereka sudah maklum. Bagi saya, saya perlu 30 minit untuk menghabiskan segelas air nipah ini. Ia tidak boleh diminum cepat.

Kita perlu merasai nikmatnya, sedut perlahan-lahan, rasa kelainannya. Jika terlalu manis, jangan malu untuk meminta tambahan ais.

Wednesday, June 17, 2009

Homestay Hutan Paya Bakau Matang

Kepada pemancing dan pecinta alam sekitar khasnya yang ingin menerokai hutan paya bakau seperti melihat kelip-kelip, (Sila lihat post lain dalam blog ini untuk mengetahui aktiviti yang boleh dilakukan di sini) sekarang boleh membawa keluarga untuk tinggal di homestay Pak Man dan Pn. Rahani yang terletak di tebing Sungai Sepetang, Kg Dew Seberang, Kamunting, Taiping, Perak.



Pak Man yang sebelum ini bekerja sebagai PILOT BOT BAKAU, membawa kayu bakau ke kilang kayu arang, sekarang baru berhenti dan mengusahakan warung makan di sebelah rumah bersama isterinya.



Sebelum ini sudah banyak kali beliau membawa pelancong melihat kelip-kelip.



Beliau amat berpengalaman dalam selok-belok hutan paya bakau Matang. Berbagai cerita menarik boleh kita dapati darinya.
Di samping itu, beliau dan isterinya adalah sangat mementingkan kebersihan. Kawasan rumahnya dijadikan taman yang cantik dan amat sesuai untuk bersantai.







Warung makan yang diusahakannya kecil sahaja tetapi mendapat sambutan yang menggalakkan dari penduduk setempat dan para pemancing. Jangan ketinggalan mencuba nasi goreng ayam dan ABCnya.




Lokasi Homestay Pak Man
Keluar dari Plaza Tol Kamunting, belok kiri arah ke Utara. Satu kilometer seterusnya sampailah. (Pastikan anda tidak menyeberang sungai melalui jambatan)



Gambar-gambar di dalam rumah akan menyusul kemudian.

Monday, June 15, 2009

Aktiviti Melihat Kelip-kelip Kg Dew Taiping Perak. Fireflies Sighting / Watching

Kami sampai di jeti Kampung Dew kira-kira jam 9 malam 4 June 2009. Sudah ada lima buah bot menunggu. Tanpa membuang masa kami menaiki bot yang pertama. Haha. Excited terlebih sudah. Pakcik bot bawa sangat perlahan. Agaknya tidak mahu mengejutkan haiwan-haiwan malam di sepanjang sungai itu terutamanya kelip-kelip. Lampu pun tidak dipasang sebab kelip-kelip ni pemalu. Kalau kena suluh, nanti dia duduk senyap-senyap tidak memancarkan lampu hijau kuning yang cantik itu. Kelip-kelip ni nama omputihnya 'fireflies'. Baru saya tahu kelip-kelip ni suka berkumpul di pokok berembang saja. Pokok ni memang banyak la di sepanjang sungai ini selain bakau.

Setelah 10 minit perjalanan, akhirnya kami terjumpa segerombolan kelip-kelip di sebatang pokok berembang. Wah, cantik sekali. Macam pokok krismas berkelip-kelip. Mereka ni berkelip hampir serentak. Agaknya nampak begitu mungkin kerana berkelip terlalu pantas. Subhanallah, kagum saya melihatnya. Rasa 'magical' sangat. Untuk pengetahuan, kelip-kelip jantan ada dua lampu. Manakala kelip-kelip betina ada satu sahaja. Kelip-kelip jantan akan gunakan kelebihan lampu dia itu untuk mengorat. Haha. Men=p

Sepanjang perjalanan pergi selama 40 minit itu, lebih banyak pokok berembang berkelipan yang kami jumpa. Sayang sekali malam itu bulan terang. Kata pakcik bot, kalau malam gelap gelita maka lagi jelas dan lagi indah pemandangannya. Wah, tak dapat saya bayangkan. Yang ada ini pun cukup cantik. Malangnya kamera handphone kami tidak mampu menangkap gambar 'pokok krismas berkelip-kelip' itu. Memang tak nampak dalam gambar. Tidak tercapai kameraku. Isk..isk..Nak tengok sila lah pergi sendiri ye. Hehe.

Ada satu kelip-kelip terjatuh ke atas bot kami. Nampak tak dalam gambar yang atas kiri itu. Satu lagi lampu itu ialah handphone adik saya dalam cubaan menangkap gambar. Tengok adik saya sibuk nak tangkap kelip-kelip sampai julur kepala dalam pokok. Hehe.

Ha, ini terang sikit. Gambar dari handphone adik saya yang hebat sikit dari handphone saya (sebab ada flash=p) Itu la kelip-kelip, yang tunjuk dengan anak panah merah tu. Kelip-kelip ni kecil je, tak sama dengan kunang-kunang. Bawah tu gambar bila tutup flash. Cantik lampu hijau kuning dia. Cuba bayangkan banyak-banyak berkumpul dekat satu pokok. Cuuun..
Kami yang over excited.

Kami sampai ke jeti semula lebih kurang pukul 11 malam. Letih juga naik bot dua jam tapi sangat seronok. Lain kali kalau nak pergi lagi, kena bawa baju sejuk. Menggigil kesejukkan oo..Angin Selat Melaka. Hehe. Lepas ini, nak pergi tengok kelip-kelip di Kuala Selangor pula. Dengar cerita lagi meriah kelip-kelipnya. Yang jadi lokasi iklan TNB tu=p

:: Terima kasih kepada pihak berkaitan kerana membenarkan saya menyibuk. Heee~