Sunday, August 25, 2013

Pelancongan Taiping: BERNAMA

Kuala Lumpur: Pihak berkuasa Pelaksanaan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCIA) akan beralih tumpuan kepada sektor pelancongan bagi mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan dan menarik pelaburan dalam usaha untuk merealisasikan sasaran pelaburan RM10 bilion, selain sektor pembuatan dan pertanian.
Ketua Pegawai Eksekutif NCIA, Datuk Redza Rafiq berkata, pembuatan dan pertanian adalah pemacu angka pelaburan untuk Koridor Utara, namun dalam perancangan tahun ini akan berlaku anjakan kepada sektor pelancongan, bukan saja dalam bidang perhotelan, malah bidang baru yang boleh mewujudkan peluang secara lebih mampan.

“Lebih banyak aktiviti pelancongan akan diwujudkan di Langkawi dan kawasan tumpuan pelancong di Pulau Pinang, selain kawasan baru di Taiping dan hutan hujan tropika Belum-Temenggor.
“Taiping akan menerima RM183 juta untuk inisiatif pelancongan tahun ini sehingga akhir tahun depan manakala Belum akan menerima RM4.39 juta bagi membangunkan kem asas baharu serta ponton yang akan menambah kecergasan kepada lokasi dan lebih banyak peluang secara lebih lestari,” katanya pada sidang media mengenai perjanjian NCIA di sini kelmarin.

Koridor Utara yang dilancarkan pada tahun 2007 sebagai inisiatif pembangunan ekonomi dan sosial di Utara Semenanjung Malaysia, meliputi Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan utara Perak. Pelaksanaannya kini memasuki pembangunan fasa kedua tahun pertama yang berlanjutan hingga 2020.

Turut hadir tiga daripada empat syarikat yang baru-baru ini menandatangani memorandum perjanjian dengan NCIA bernilai RM1.96 bilion untuk usaha sama perniagaan dan projek dalam setiap negeri terbabit.
Foto
REDZA (dua dari kanan) pada sidang media mengenai perjanjian NCIA di Kuala Lumpur, semalam.
Syarikat berkenaan ialah UWC Industrial Sdn Bhd, JPB Asia Pacific Sdn Bhd, Seri Chenang Resort & Spa Langkawi dan Unifortune Holdings Sdn Bhd.



Kira-kira 3,650 peluang pekerjaan dijangka diwujudkan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment