Monday, August 1, 2011

CADANGAN PENAMBAHBAIKAN EKOPELANCONGAN KELIP-KELIP KG DEW

CADANGAN PENAMBAHBAIKAN
EKOPELANCONGAN KELIP-KELIP KG DEW
Setahun telah berlalu sejak pelancaran oleh Dato Rosli Husin pada Julai 2010. Peningkatan jumlah pelancong yang datang semakin bertambah. Apa yang lebih menggembirakan ialah kedatangan berulang serta membawa lebih ramai kenalan.
Telah nampak kesungguhan beberapa penduduk kampong yang mula menanam azam bagi menambah mutu perkhidmatan yang disediakan seperti menempah bot baru atau membaiki rumah untuk kemudahan pelancong bertandang. Kesedaran penduduk kampung tentang kepentingan ekopelancongan sebagai sumber penjana ekonomi perlu ditambah.. Apa yang lebih penting ialah bagaimana mereka berusaha untuk menyumbang dan mendapat pulangan dari hasil tersebut.
Kampung Dew merupakan sebuah kampung yang istimewa, bukan saja dengan kelip-kelip, khazanah sungai, alam dan dapur arang yang ada di sini tetapi juga penduduknya. Memang sukar dicari dewasa ini sesuatu majlis kenduri yang diadakan dilakukan secara gotong-royong. Penduduk Kampung Dew pada setiap masa akan bergotong-royong dalam setiap majlis kenduri. Walaupun tuan rumah terpaksa menyediakan juadah sampingan untuk mereka yang berkerja tetapi pulangan komuniti yang didapati amat baik, penduduk dapat mengeratkan tali persaudaraan dan bercerita topik semasa.
Perkara seperti ini perlu diperluaskan lagi mencakupi aspek keceriaan kampung kerana apa yang dapat diperhatikan sekarang faktor kebersihan dan keceriaan hanya diambil perhatian untuk kawasan rumah masing-masing sahaja tanpa mengambil kira kawasan kampung. Satu pendekatan pelupusan sampah perlu difikir dan dilaksanakan. Penduduk yang tidak menerima kesan langsung dengan kegiatan pelancongan berpendapat tidak perlu berusaha kearah pembangunan dan kecerian kampung. Sesuatu perlu difikirkan bagi melibatkan semua penduduk kampung dalam sektor ini seperti industri cenderamata dan kraftangan.
Seorang Ketua Jabatan agensi kerajaan di Taiping dalam satu lawatan kelip-kelip telah memberi cabaran kepada ekopelancong agar “membuat sebiji kek yang enak” bila kek tersebut sudah siap, pelbagai pihak akan datang membuat hiasan pada kek tersebut agar menjadi lebih cantik. Cabaran dari Ketua Jabatan itu nampaknya sudah menampakkan hasil dengan sumbangan pihak Spritzer, peruntukan RM 50,000 untuk menaik taraf jeti dan RM15,000 lagi untuk pelaksanaan Pesta Kelip-Kelip. Pelbagai peruntukan lagi boleh dipohon khususnya dari Pembangunan Luar Bandar dan agensi lain dimasa akan datang tetapi kita perlu meningkatkan mutu perkhidmatan. Baru-baru ini beliau sekali lagi mencabar agar memohon laluan jalan masuk ke Jeti tanpa perlu melintas jalan iaitu satu pusingan jalan ke kiri dan melalui bawah jejantas lebuhraya dan terus ke jeti. Sesuatu yang pada masa sekarang kita tidak terfikir mengenainya.
MENINGKATKAN MUTU PERKHIDMATAN
Kehadiran MNS (Persatuan Pencinta Alam Malaysia) menjalankan projek komuniti selama 6 bulan bermula Febuari 2011 sedikit sebanyak membantu mendidik pengusaha pelancongan kearah perkhidmatan yang berkualiti. Bengkel kesedaran yang dijalankan selama dua hari mendapat sambutan yang luar biasa dari penduduk kampung. Kemuncak projek komuniti ini diakhiri dengan Pesta Kelip-kelip Kg Dew, yang pertama seadanya di Malaysia. Pesta yang turut dianjurkan oleh agensi kerajaan dan PBT ini telah berjaya dilaksanakan dengan sempurnanya pada 24 Julai 2011.
Sistem pengiliran membawa pelancong dan bertugas di jeti seperti sistem teksi perlu dilaksanakan segera agar agihan pendapatan adil. Bayaran perkhidmatan yang telah ditetapkan perlu dipatuhi.
Ada pemandu pelancong berkata bahawa kita perlu berlakon sebentar semasa membawa pelancong. Berpakaian kemas, tidak merokok, bersopan-santun dan memberi penerangan yang lengkap tentang ekopelancongan. Alangkah lebih baik lagi sekiranya kita jangan berlakon tetapi berubah terus menjadi seorang yang memang berpakaian kemas, tidak merokok, bersopan-santun dan dapat memberi penerangan yang lengkap tentang ekopelancongan kerana apa yang kita lakukan sekarang akan kita lakukan untuk satu tempoh masa yang panjang dan kita mesti berubah kearah itu.
Semasa membawa pelancong melihat kelip-kelip, penggunaan lampu suluh mesti diminimumkan dan jika boleh tiada cahaya langsung kerana kelip-kelip amat terganggu dengan cahaya.
Pelancong yang datang melihat kelip-kelip ialah pelancong yang cintakan alam sekitar. Mereka amat menitik beratkan soal kebersihan. Kebersihan tandas pernah dinyatakan dan beberapa langkah telah dibuat tetapi apa yang nampak sekarang ianya tidak berjalan. Satu penyelesaian khusus perlu dibuat agar tandas di jeti akan dijaga dan dibersihkan secara berkala.
Pemilik tanah berhampiran jeti perlu mendapat sedikit sumbangan kerana berkerjasama menyediakan ruang untuk kita beroperasi. Saya pernah berbual dengannya pada awal tahun 2008 mengenai sumbangan bagi tempat meletak kenderaan di tanahnya.
Kini adalah masa yang sesuai untuk kita pula memberi atas sumbangannya kepada kita selama ini.
PLAN MASA DEPAN
Cuba kita bayangkan sebuah restoran tepi sungai berhampiran jambatan yang diterangi lampu berwarna-warni menyambut tetamu dengan hidangan udang galah yang lazat. Pengunjung berbangsa Cina biasanya akan makan dulu sebelum melihat kelip-kelip. Saya sudah mengaturkan banyak pelancong dengan makan malam menu udang galah. Ianya ialah satu menu eksotik yang sukar dicari di tempat lain. Selain dari kelip-kelip kita boleh jadikan udang galah satu lagi ikon penting di Kampung Dew.
Ada cadangan untuk pihak kerajaan mengambil tanah berhampiran dengan jeti dan digantikan dengan yang lain. Bagi saya pembangunan boleh dijalankan dengan tidak mengorbankan hak pemilik asal. Biarlah mereka sama-sama menikmati rezeki yang dianugerahkan Allah dengan penglibatan bersama. Selain sebuah restoran, saya nampak sebuah tempat Rehat & Rawat seperti di lebuh raya mengambil tempat berhampiran jeti pada tahun 2015 nanti. Penduduk yang terlibat diberi sebuah gerai dan sebuah rumah teres menggantikan tapak asal rumah masing-masing. Beberapa chalet dan asrama di pinggir sungai dan sebuah jambatan gantung menyeberangi Sungai Sepetang.

No comments:

Post a Comment