Monday, June 29, 2009

Matang Dan Kuala Sepetang

MATANG dan KUALA SEPETANG adalah dua penempatan kecil yang terletak dalam daerah Larut Matang, Perak, letaknya lebih kurang 15 km dari Bandar Taiping. Matang terletak dalam Mukim Simpang manakala Kuala Sepetang dalam Mukim Jebong. Dari segi pentadbiran, kedua-duanya adalah di bawah Majlis Perbandaran Taiping.

Penduduk Kuala Sepetang sebahagian besarnya masyarakat Cina yang sudah lama berkecimpung dalam bidang perikanan sebagai nelayan dan peniaga. Sementara majoriti penduduk Matang adalah orang Melayu yang bekerja di sektor pertanian dan perikanan.



Kota Ngah Ibrahim di Matang

Papan Tanda Port Weld di Kuala Sepetang

Kedua-dua Matang dan Kuala Sepetang merupakan petempatan yang unik. Matang adalah pekan Melayu lama yang wujud sebelum pembukaan Taiping. Kota Ngah Ibrahim, Rumah Kapten Speedy, Balai Penghulu dan Masjid Tengku Menteri adalah beberapa contoh bangunan bersejarah yang masih wujud dan terpelihara di Matang. Rumah Majistret Pertama, Sekolah Rendah Terawal dan Rumah Pam Minyak Pertama adalah antara bangunan warisan yang dikenal pasti menjadi bangunan terpenting pada zaman dulu sebagai tonggak utama pembentukan pekan Matang ketika zaman pemerintahan Ngah Ibrahim(1836-1895).

Kuala Sepetang pula menjadi pusat aktiviti perikanan yang dinamik dan berkedudukan istimewa di muara Sungai Sepetang dan di kawasan Hutan Paya Laut Matang. Kuala Sepetang dan Hutan Paya Laut Matang, tidak asing bagi pencinta alam di dalam dan luar negara.

Pusat Eko Pelajaran Hutan Paya Laut Matang yang terletak di Kuala Sepetang menjadi destinasi yang amat popular di kalangan kumpulan ini dan juga golongan pelajar yang menggunakan kemudahan perkhemahan di sini. Hutan Paya Laut Matang pula destinasi utama eko pelancongan negeri Perak malah ia juga tersenarai dalam Pelan Eko Pelancongan Kebangsaan. Lawatan pelancong dan pengunjung luar tertumpu kepada Pusat Eko Pelajaran Hutan Paya Laut Matang, kilang dapur arang dan aktiviti menyusuri sungai.

Kuala Sepetang juga signifikan dari segi sejarah iaitu Port Weld yang dulunya sebuah pelabuhan terawal dan memiliki landasan keretapi pertama di negara ini yang enghubungi Port Weld dengan Taiping. Prospek Matang dan Kuala Sepetang sebagai pusat pelancongan adalah tinggi kerana terdapat begitu banyak sumber menarik yang boleh diketengahkan di kedua-dua tempat ini.

Bagaimanapun sumber-sumber yang ada sehingga ini masih belum dibangunkan secara bersepadu dan juga tidak disokong dengan kemudahan dan perhubungan mahupun publisiti yang sewajarnya. Ada peninggalan sejarah di Matang yang tidak dipelihara dengan baik dan ada kesan sejarah yang berkaitan dengan Port Weld juga kian hilang. Ini satu isu utama dalam pembangunan Matang dan Kuala Sepetang.

Pemeliharaan ikan dalam sangkar berkembang pesat di atas kawasan pembangunan yang terhad disebabkan oleh kedudukannya di tengah-tengah hutan paya laut. Pencerobohan hutan paya laut sudah berlaku dan akan terus berlaku jika tidak dikawal sewajarnya. Pembangunan yang tidak terkawal akan mengancam hutan paya laut yang menyokong aktiviti perikanannya. Akhirnya akan terjejas sekiranya keadaan sedemikian dibiarkan berlarutan.

Sementara keadaan penempatan yang sesak dan tidak teratur menyukarkan penyediaan kemudahan dan sistem perkhidmatan yang berkesan. Mengambil peluang daripada prospek dan menangani isu yang ada, perancangan yang khusus perlu dibuat bagi Matang dan Kuala Sepetang.

Dengan itu satu Rancangan Kawasan Khas (RKK) Matang Kuala Sepetang 2015 disediakan sebagai satu pelan tindakan bagi membangunkan Matang dan Kuala Sepetang. RKK ini
disediakan dengan kerjasama Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Perak dan Majlis Perbandaran
Taiping.

RKK ini seharusnya dijadikan panduan dan rujukan bagi Majlis Perbandaran Taiping selaku Pihak Berkuasa Perancang Tempatan dan agensi-agensi pelaksana dalam membangunkan dan menguruskan kawasan Matang dan Kuala Sepetang. Rancangan Kawasan Khas adalah merupakan satu rancangan statutori yang disediakan di bawah Akta
Perancangan Bandar dan Desa 1976, Akta 172. Akta ini memperuntukkan supaya RKK mengandungi cadangan-cadangan tindakan khusus yang terperinci bagi tujuan memajukan, memajukan semula, memperelokkan, memulihara atau bagi tujuan pengurusan kawasan berkenaan.

RKK Matang Kuala Sepetang menganjurkan supaya pembangunan bagi kawasan Matang dan Kuala Sepetang bertemakan Desa Pelancongan Warisan. Wawasan utamanya untuk menjadikan Matang dan Kuala Sepetang sebagai kawasan desa pelancongan warisan yang berdaya maju selaras dengan Wawasan Perak Maju 2015. Dalam merangka rancangan ini beberapa perkara menjadi asas pertimbangan;
• Pengekalan alam semulajadi, tumbuh-tumbuhan dan keadaan persekitaran.
• Penekanan kepada elemen pelancongan, reka bentuk perbandaran, landskap dan rekreasi.
• Pemeliharaan bangunan warisan dan kesan-kesan sejarah yang penting.

9 comments:

  1. Salam Mr Khairul, kami 1 kumpulan dari UPM akan melawat ke Hutan Paya Bakau Larut-Matang mulai esok. 3 hari trip ke Taiping menikmati keindahan alam. Tak sabar nak ke Kg Dew.

    ReplyDelete
  2. Sayapun ada dengar berita kedatangan anda. Khabarnya diuruskan oleh pihak jabatan Hutan.

    ReplyDelete
  3. salam..

    mcm mana nk dptkan kontek number tmpt ni yer?i need da quotation..

    ReplyDelete
  4. salam mr khairul..saya peserta dari putrajaya yang mana pihak di perak telah menganjurkan disana..saya ialah aqila binti afindi darjah 5..saya ingin taynya kami tidakpasti kami tidur dimana ,tetapi yang ada dalam bolg cume tapak perkhemahan dan penginapan sahaja...dimana kami tidur?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Maaf..Pihak kami bukan peganjur aktiviti anda.

      Delete