Monday, September 2, 2013

NCIA Peroleh Pelaburan RM400 Juta Di Perak Utara


EKONOMI › BERITA

TAIPING, 2 Sept (Bernama) -- Lembaga Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) menantikan pelaburan berjumlah RM400 juta lagi menjelang akhir tahun dalam sektor perkilangan, pelancongan, pertanian dan logistik di Kamunting Perak.

Berdasarkan laporan setengah tahun yang diumumkan minggu lepas, Taiping sahaja telah menjana pelaburan berjumlah RM166.5 juta bagi enam bulan pertama tahun ini.

Ketua Eksekutif NCIA, Redza Rafiq, berkata pelaburan akan mula mengalir dari sekarang hingga akhir tahun.

"Kami mempunyai beberapa syarikat yang melabur, tetapi pelaburan besar akan dibawa masuk oleh usaha sama sebuah entiti senaraian Malaysia dan rakan seniaganya dari Eropah.

"Kedua-dua entiti ini akan mula melabur dalam beberapa bulan akan datang," katanya dalam satu sidang akhbar di sini.

Redza berkata Perak Utara telah menyaksikan beberapa pembangunan besar dalam beberapa tahun lepas ekoran kebanjiran syarikat-syarikat multinasional, rangkaian logistik maju dan kewujudan prasarana berkualiti.

"Ia mempunyai persekitaran yang kondusif dan baik bagi pelaburan asing kerana ia terletak selesa dalam kalangan beberapa taman perindustrian utama, yang telah mewujudkan ekosistem sokongan yang mengupayakan bagi peserta-peserta industri" katanya.

Hari ini NCIA melancarkan Fasa 2 Pelan Pembangunannya di negeri Perak sempena perasmian pejabat baharunya di Taiping.

Redza berkata pelaburan dalam kawasan-kawasan ini bertujuan memastikan masyarakat setempat di Perak Utara mendapat manfaat daripada pewujudan pekerjaan.

Projek-projek itu dijangka mewujudkan kira-kira 3,650 pekerjaan dan peluang perniagaan menjelang akhir tahun depan.

Majlis itu dirasmikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abdul Kadir.

Zambry berkata dengan momentum berterusan daripada NCIA dalam pembangunan Koridor Utara, enam kawasan strategik bagi pembangunan, termasuk Greater Kamunting, telah dikenal pasti.

Tiga puluh empat projek permulaan berpotensi dalam kawasan-kawasan ini yang bernilai RM18 bilion dan akan dilaksanakan dari 2013 hingga 2030, kata beliau.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment