Monday, September 2, 2013

34 Projek Permulaan Bernilai Rm18 Bilion Bakal Dilaksana Di Greater Kamunting

EKONOMI › BERITA


TAIPING, 2 Sept (Bernama) -- Sebanyak 34 projek permulaan yang bernilai RM18 bilion akan dilaksanakan melalui pembangunan fasa kedua Koridor Utara di kawasan perindustrian yang dikenali sebagai 'Greater Kamunting' pada tahun ini hingga 2030, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata kerajaan negeri telah mengadakan perbincangan bersama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) mengenai jenis perindustrian yang akan disediakan di kawasan itu.

"Kita harap pembangunan ini dapat dijadikan seperti Taman Teknologi Tinggi di Kulim, yang mana projek ini juga antaranya akan memberi penekanan kepada industri-industri yang berasaskan kepada teknologi hijau," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pejabat baharu Koridor Utara di sini, Isnin.

Pejabat baharu yang menyediakan perkhidmatan bersepadu bagi pelabur luar dan tempatan, syarikat-syarikat tempatan yang berpusat di Perak Utara itu bertindak sebagai pembolehubah, pemudah cara dan rakan kongsi perniagaan serantau kepada sektor swasta serta akan menjadi rakan kepada masyarakat setempat.

Kawasan perindustrian baharu ini akan menjadi tarikan kepada pelabur di seluruh dunia sekaligus merancakkan pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan pendapatan di Perak, katanya.

Beliau berkata kawasan Kamunting menjadi pilihan agensi itu kerana merupakan kawasan yang kondusif dan sesuai untuk menarik masuk penyertaan sektor swasta.

"Kawasan ini dilengkapi dengan tenaga kerja mahir dan setia, ekosistem sokongan yang matang bagi memudahkan urusan perniagaan serta elemen sesuai untuk tinggal yang baik kerana mempunyai persekitaran yang lengkap," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata NCIA berjaya membawa masuk sebanyak RM166.5 juta pelaburan ke kawasan Taiping dan Kamunting pada enam bulan pertama tahun ini.

"Antara projek-projek yang sedang giat dijalankan di Perak Utara adalah seperti Hotel empat bintang Novotel dan pusat beli-belah yang dijangka siap pada tahun 2014. Projek baru ini bakal mewujudkan 3,650 peluang pekerjaan di Perak," katanya.

Beliau berkata terdapat pelaburan baharu yang dianggarkan sebanyak RM400 juta akan di bawa masuk ke kawasan Taiping dan Kamunting sebelum akhir tahun ini.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment