Pakej Mencari Ikan Lumba Lumba
RM100 seorang
atau RM500 sebuah bot.
Masa +3jam
RENCANA UTAMA KOSMO 1 JANUARI 2012
Berlumba dengan bot nelayan
PADA pandangan mata kasar, perairan Kuala Sepetang di Perak yang menghadap ke Selat Melaka tiada bezanya dengan kuala sungai lain yang ada di negara ini.
Panorama perkampungan nelayan berlatarbelakangkan hutan paya bakau yang sangat luas ini memang cukup indah untuk dinikmati, apatah lagi apabila disimbah sinaran merah matahari di ufuk barat.
Namun, di sebalik kekayaan alam yang dimilikinya, Kuala Sepetang turut mempunyai keunikan tersendiri kerana ia sering menjadi tumpuan ikan dolfin atau ikan lumba-lumba.
Kehadiran mamalia yang boleh hidup di laut dan sungai ini secara tidak langsung menjadikan Kuala Sepetang sebagai lokasi ekopelancongan yang menarik untuk dilawati.
"Ikan dolfin memang kerap dijumpai di sini. Ia suka mengekori bot nelayan yang pulang dari laut menuju ke kuala.
"Ikan-ikan ini tidak mengganggu kami, malah kami menganggapnya sebagai rakan hingga ada yang memberi makan kepada dolfin yang menghampiri bot," ujar nelayan udang, Mohd. Adam Hassan, 40.
Beliau yang sudah 30 tahun turun ke laut memberitahu sering terserempak dengan ikan dolfin sejak berusia 10 tahun lagi.
"Dolfin memang ada di kawasan ini, terutamanya di Kuala Sepetang dan Kuala Sanggar.
Tepuk tangan
"Ia biasanya datang secara berkumpulan, namun pernah juga saya jumpa hanya seekor ikan dolfin yang berani mendekati bot saya," katanya.
Gemar memakan ikan duri, mamalia yang aktif dan gemar bersosial ini sangat sukakan belahan air dan buih-buih putih yang terhasil setiap kali bot melalui kuala.
"Biasanya ikan ini akan ekori bot dari jauh. Apabila ia merasakan persekitaran tersebut selamat, baru ia menimbulkan badannya di permukaan air sedikit demi sedikit.
"Malah, kalau kita tepuk tangan dan bersorak, ia akan melompat ke atas. Kalau bernasib baik, dolfin akan senyum pada kita," katanya yang belum pernah mendengar ada dolfin yang dijumpai mati di Kuala Sepetang.
Menurut pemandu pelancong, Khairul Salleh Ahmad, 40-an, dia pernah terserempak dengan sekumpulan 10 ekor dolfin tidak lama dahulu.
"Dolfin memang sering bermain di kawasan ini, tetapi untuk berjumpa dengannya, itu bergantung kepada nasib juga.
"Ada masanya memang mudah untuk kita nampak ikan ini, tapi pernah juga pelancong pulang kehampaan kerana kelibat dolfin langsung tidak kelihatan walaupun sudah berjam-jam bot menyusuri kuala," katanya yang juga merupakan individu bertanggungjawab memperkenalkan dolfin Kuala Sepetang sebagai produk pelancongan melalui laman blognya, fireflyzone.blogspot.com.
Baru-baru ini, Jurnal berkesempatan menjejaki dolfin di Kuala Sepetang bersama bantuan Khairul dan Adam.
Bermula pada pukul 4 petang, kami menyusuri Kuala Sepetang menghilir ke Selat Melaka yang terletak kira-kira setengah jam perjalanan dengan menaiki bot.
Mencari kelibat dolfin di dalam hujan bukanlah perkara mudah. Setelah sejam meninjau, pencarian kami masih belum berhasil.
Adam mengesyorkan kami bergerak ke Kuala Sanggar kerana dia sering melihat dolfin di situ.
Kira-kira 25 minit mencari, kami akhirnya tersenyum melihat dari jauh sirip dan muncung dolfin di permukaan air.
Rasa ingin tahu menyebabkan kami nekad mendekati kumpulan empat ekor dolfin ini. Ketika itu hati tidak putus berdoa supaya kehadiran kami tidak menakutkan keluarga mamalia ini.
Main sorok-sorok
Dengan masa yang agak terhad, jurufoto Fauzi Baharudin bergelut untuk mengambil gambar dolfin yang tangkas melompat ke udara sebelum hilang di balik air keruh.
Seolah-olah bermain sorok-sorok, ikan dolfin ini akan tenggelam di tempat berbeza untuk menarik perhatian kami sebelum terus hilang, dipercayai untuk kembali semula ke laut.
Menyifatkan dolfin berpotensi menjadi produk ekopelancongan berjaya di Kuala Sepetang yang juga popular dengan penghasilan kayu arang dan kelip-kelip di Kampung Dew, Khairul sering mendapat reaksi positif daripada pelancong.
"Mereka sangat menghargai keindahan alam di sini dan mengharapkan ia mampu dipertahankan pada masa akan datang," katanya yang sudah mengendalikan ribuan pelancong yang datang untuk melihat dolfin di Kuala Sepetang.
Sementara itu, pakar Biologi Marin, Dr. Louisa Ponnampalam dari Institut Sains Lautan dan Bumi, Universiti Malaya berpendapat jika ingin menggalakkan dolfin sebagai tarikan, penting untuk pengendali pelancongan dan orang awam mempunyai pengetahuan mencukupi mengenai ikan itu.
"Ia adalah satu keperluan kerana jika inisiatif ekopelancongan tidak diuruskan dengan baik, ia boleh menjadi penyebab dolfin yang ada itu berhijrah ke tempat lain," katanya.
Tambah Louisa, masyarakat sering menganggap ikan jenis ini mudah mesra namun realitinya ia termasuk dalam golongan haiwan pemangsa teratas dalam rantaian haiwan laut.
"Apabila ada dolfin, sudah tentu terdapat banyak hidupan lain seperti ikan dan sotong yang menjadi makanannya di situ.
"Justeru, pemuliharaan optimum ekosistem di sini sangat penting bagi memastikan mamalia ini terus ada di sini," ujarnya.
Jelasnya, cara terbaik untuk meninjau ikan dolfin ialah dengan menggunakan bot kecil yang lebih senyap enjinnya.
Mengulas perkara sama, Ketua Komunikasi Persatuan Alam Sekitar Malaysia (MNS), Andrew Sebastian mengharapkan lebih banyak kajian ke atas tingkah laku dolfin dilakukan supaya orang ramai boleh dididik mengenai cara untuk berdepan dengan mamalia ini.
"Pendedahan ini perlu supaya ia tidak mendatangkan persekitaran bahaya kepada ikan dolfin.
"Ikan jenis ini adalah makhluk yang pandai bergaul namun keramahannya itu tidak boleh dijadikan kesempatan yang boleh mengundang risiko," kata Andrew.
No comments:
Post a Comment