Thursday, December 8, 2011

Cadangan Homestay Parit 4, Selinsing, Gunung Semanggol Perak

Tarikh : 8 December 2011
Hari ini aku ke Kuala Gula untuk mengambil tempahan ketam kulit lembut Carin Ong dari Singapura. Perjalanan ke Kuala Gula amat menarik perhatian dengan sawah padi menghijau dan terbentang luas. Kelihatan burung bangau kecil dan bangau besar sedang mencari makan di celah-celah rimpunan padi yang subur.
Aku makan tengahari di Restoran Terapung Jailani dengan menu ketam goreng, lokan lada dan sayur campur. Hafizah mengorbankan penat lelah bersahur bila melihat menu yang terhidang. Tak apalah dapat juga berpuasa separuh hari.
Di situ aku sempat berbincang dengan Kuala Gula Nature Guide Azhar dan Nature Guide Wahab untuk membangunkan sektor pelancongan ke arah yang lebih progresif.

Sewaktu balik aku singgah ke rumah En. Azlan b Mat Tan. Isterinya Intan, anak perempuan Nor Dania Tasmin dan Nenek. Aku menyatakan bahawa Kampung Parit 4, Jalan Gula 34400 Semanggol ini amat strategik kerana berada di di tengah-tengah lokasi pelancongan menarik di Perak iaitu Bukit Merah, Kuala Gula, Kuala Sepetang, Kg Dew, Gunung Semanggol selain terletak di pinggir Hutan Paya Laut yang terbesar di Malaysia. Zoo Taiping & Night Safari serta Bukit Merah Lake Town Resort juga berada dalam jarak perjalanan yang mudah. Dari kampung ini pelbagai aktiviti pelancongan boleh dijalankan.
Bagi warga kota yang ingin jadi pelarian dari kesibukan kerja dan kebingitan kota datanglah ke sini. Kedatangan anda akan kami aturkan dengan pelbagai acara yang pasti menjadi kenangan bagi dibawa pulang.
Rumah En Azlan dijaga dengan elok sekali. Papannya diminyak bagi mengekalkan kekukuhan papan dan mencegah dirosakkan anai-anai. Di kiri dan belakang rumahnya sawah padi. Di sebelah kanannya ada sekolah agama kecil, 2 bilik darjah. Boleh buat pelbagai aktiviti di sini.
Sebelum balik aku tertarik dengan reban ayam dan dinyatakan itu reban ayam hutan. Nenek yang tadinya diam sahaja segera keluar rumah dan membawa sedikit makanan untuk anak-anak ayam hutannya yang sungguh comel. Aku terkejut dengan keramahan nenek kerena semasa perbincangan beliau diam sahaja. Kata nenek ayam-ayamnya amat jinak dan seolah-olah mengerti jika nenek memegang piring kuning bermaksud ada rezeki.
Aku percaya jika diusahakan dengan betul Homestay Parit 4 Selinsing Gunung Semanggol akan menjadi tumpuan pelancong menjelang tahun 2015 nanti. InsyaAllah

No comments:

Post a Comment