Friday, January 13, 2012

BERNAMA Report On Kg Dew

RENCANA-KELIP-KELIP
NIKMATI EKO-PELANCONGAN BERTEMANKAN KELIP-KELIP, UDANG GALAH DI KAMPUNG DEW
TAIPING...
 -- Keindahan tatkala menyusuri Sungai Sepetang perlahan-lahan dengan menaiki bot sambil dihembus kedinginan malam di Kampung Dew yang terletak berhampiran Kamunting di sini mungkin sukar diterjemahkan dengan bait-bait kata, apatah lagi melihat kelip-kelip berterbangan dari satu ranting pokok Berembang ke ranting yang lain.
Deruman enjin bot dan kocakan air sungai, sesekali tersua dengan nelayan yang mencari rezeki menjala udang galah dari aliran Sungai Sepetang seperti tidak dihiraukan untuk melihat keindahan setiap pohon Berembang yang berada di sepanjang kiri dan kanan sungai itu yang 'dihiasi' beratus-ratus kelip-kelip. Ia umpama pohon Krismas, malah lebih hebat daripada itu!
Kelip-kelip yang umpama 'bintang mengerdip di langit malam' itu mendiami kawasan Sungai Sepetang di Kampung Dew adalah merupakan daripada spesis 'Pteroptyx Tener' yang berkelip lebih kurang tiga kali dalam setiap saat. Spesis ini juga boleh berkelip secara beritma 'synchronize'.Kelip-kelip Kg Dew mengambil cogan kata "Ritma Cahaya Alam" atau "Synchronized Lights In Nature" sempena tabiatnya yang berkelip serentak.

Waktu terbaik untuk menikmati keindahan cahaya kelip-kelip ini adalah pada sebelah malam iaitu antara 7 hingga 11 malam. Pelancong dinasihatkan datang semasa bulan gelap atau bulan sabit kerana kelipannya akan menjadi lebih jelas. Jika hujan pada sebelah petang akan meninggalkan kesan air pada daun pokok berembang dan kelipan akan bertambah cantik lagi kerana biasan pada daun dan di permukaan air.


Sebelum ini, para pengunjung yang ingin melihat kelip-kelip terpaksa menempuh perjalanan yang jauh kira-kira 20 kilometer dari Pusat Eko-
Pelajaran Hutan Bakau Kuala Sepetang yang diuruskan oleh Pejabat Hutan untuk melihat kelip-kelip Kampung Dew.

Menyedari potensi eko-pelancongan yang semakin mendapat tempat orang ramai, kini penduduk Kampung Dew menguruskan sendiri eko-pelancongan kelip-kelip 

Pemandu pelancong Khairul Salleh Ahmad berkata kini para pengunjung boleh menyaksikan sendiri keajaiban dunia ini hanya satu kilometer dari Jeti Kelip-kelip Kampung Dew malah mereka boleh memilih jenis pengangkutan sama ada bot untuk sepuluh orang pelancong yang lebih stabil atau sampan yang boleh dinaiki oleh 3 pelancong untuk merasai pengalaman berada paling hampir dengan koloni kelip-kelip.
Menurut beliau lagi, kebanyakan mereka yang datang untuk menikmati keindahan alam di Kampung Dew dan kawasan sekitarnya adalah pengunjung yang datang berkumpulan.
"Apa yang menarik mengenai kelip-kelip ini, dua hingga tiga jam pertama pengelipan adalah terang dan berterusan. Selepas itu, kadar pengelipan akan menjadi rendah dan akan berhenti apabila matahari terbit...selalunya kelip-kelip betina hinggap pada hujung daun pokok dan mengelip dengan merendahkan abdomen untuk berada dekat dengan daun," ujarnya. Tujuan utama pengerdipan ialah untuk menarik pasangannya. Kelip-kelip betina akan memilih kelip-kelip jantan yang paling memikat hatinya. Sebab lain ialah untuk menakutkan musuh. Kelip-kelip mempunyai toxic di badannya. Pemangsa yang pernah memakan kelip-kelip tidak lagi menjadikannya sebagai mangsanya selepas terkena toxic.

PANCING UDANG GALAH
Aktiviti memancing udang galah di Sungai Sepetang yang menjadi sempadan bagi daerah Larut, Matang dan Selama dan Kerian juga antara menjadi tarikan kepada pakej eko-pelancongan Kampung Dew.
Khairul Salleh menambah kebanyakan pemancing seringkali membawa pulang hasil tangkapan sejumlah besar udang galah yang galak memakan umpan terutamanya perumpun nipah, cacing atau udang lombong sahaja.
"Saiznya pula pelbagai ada yang ranggah (sepit biru) mencecah 200 gram seekor dan ada pula saiz sebesar ibu jari kaki yang cukup enak untuk dimakan. Pemancing pula biasanya turun memancing pada waktu petang ketika hari panas. Sebagai persediaan, pemancing diingatkan membawa tiga atau empat set pancing ringan, batu ladung saiz tiga dan sejumlah mata kail yang siap diikat.Kini penduduk kampung menerima pendapatan tambahan dengan menyewa sampan mereka kepada kaki pancing. Bagi pelancong yang ingin merasai pengalaman memancing udang galah boleh mengambil pakej sehari yang ditawarkan meliputi sewa pancing, umpan dan tekong," ujarnya.
Sebelum aktiviti memancing udang galah, pengunjung biasanya akan diberikan taklimat keselamatan dan latihan menggunakan set pancing, mengenali umpan dan teknik memancing udang galah dengan betul.
Para pengunjung juga boleh menikmati keenakan mee udang galah dan kelazatan air nira nipah yang disediakan oleh restoran di tepi jalan utama.
"Pengunjung boleh juga menikmati udang galah goreng. Biar goreng garing-garing baru sedap rasanya," ujarnya lagi.
Menurut Mohd Hashim Hassan, 53, yang bekerja di kilang pembuatan arang, beliau boleh memperoleh antara tujuh hingga lapan kilogram udang galah sehari sekiranya turun ke sungai untuk menyuluh udang galah. Peristiwa ini hanya boleh diperolehi ketika air sungai jernih. Dengan menggunakan serampang saya akan menyuluh udang galah yang berpaut pada akar kayu dan menikamnya. Namun pekerjaan ini penuh risiko kerana terpaksa masuk ke bawah pokok dan semak hutan sungai di malam hari. Khairul Salleh yang pernah mengikut saya sekali tidak berani lagi menghadapi risiko ini.
"Pakcik tak makan, biasanya pemancing udang galah jual hasil mereka, ini lebih untung. Biasanya sekilogram jual dalam RM30. Ada masa kalau udang galah kurang, harganya boleh naik lagi," tambahnya.

KILANG ARANG BAKAU
Sungai Sepetang merupakan sebahagian daripada Hutan Paya Laut Matang yang berkeluasan (41,000) 101,877 hektar dan demikian ia memberi peluang kepada pengunjung menerokai pelbagai spesis flora dan fauna dari ekosistem persisiran pantai dan kawasan hutan paya laut. Paling sinonim adalah pokok-pokok bakau yang menjadi benteng daratan daripada hakisan ombak dan Tsunami.
Sistem pengurusan hutan berkenaan telah genap 100 tahun pada September 2004 dan ia merupakan kawasan hutan pokok bakau tertua dan diiktiraf sebagai hutan bakau yang terbaik daripada segi pengurusan dan pentadbiran hutan.
Para pengunjung berpeluang membina pengetahuan mengenai hutan bakau di sini serta yang paling menarik adalah merasai 'kehangatan' aktiviti di kilang arang kayu bakau yang memang sinomin dengan Kampung Dew dan Sungai Sepetang.
Khairul Salleh memberitahu pengunjung akan dibawa melawat kilang arang serta merasa pengalaman berada dalam dapur arang yang panas seperti berada di dalam sauna.
"Anda juga boleh mencuba melakukan sendiri kerja-kerja memproses arang seperti mengangkat kayu bakau, membuang kulit kayu bakau, dan menggred arang," tambahnya.
Menurut Mohd Hashim yang bekerja di kilang pembuatan arang sejak berusia 21 tahun berkata terdapat dua jenis kayu bakau yang diproses untuk kayu arang iaitu bakau minyak dan bakau kurap.
"Arang daripada dua jenis bakau ini mempunyai kualiti nyalaan yang berbeza. Arang bakau minyak tidak banyak masalah, nyalaan api yang
sempurna dan baranya lebih tahan lama manakala arang bakau kurap nyalaannya mempunyai percikan api kecil-kecil," katanya.

KEMUDAHAN DINAIKTARAF
Bagi yang ingin berkunjung ke Kampung Dew untuk menikmati pakej sehari meliputi aktiviti di dapur arang, aktviti nelayan seperti memancing udang galah dan kelip-kelip yang ditawarkan oleh penduduk kampung, mereka boleh berehat di "rumah bertandang" yang disediakan di Kampung Dew atau menempah sendiri homestay yang ada beberapa kawasan berhampiran seperti Kamunting dan Taiping.
Ada homestay yang berada di kawasan perumahan bandar, perkampungan biasa dan berhampiran sawah padi yang boleh ditempah lebih awal.
Khairul Salleh berkata sambutan pengunjung terhadap eko-pelancongan yang disediakan oleh penduduk kampung setakat ini sangat memberangsangkan.
"Setakat ini bermula dari 2009, kita telah menerima 600 pengunjung dan jumlah itu semakin meningkat. Setiap pelancong yang datang berkumpulan akan diberikan penerangan secara slideshow Ms Powerpoint supaya pelancong diberi pendidikan pemuliharaan dan kesedaran pemeliharaan alam sekitar, Inilah kelainan berbanding tempat lain, kami mahu pelancong balik dengan pengalaman dan ilmu mengenai kelip-kelip dan boleh menjadi duta kepada ekopelancongan kami. Kami juga mengambil maklum balas bagi menambah nilai perkhidmatan yang disediakan. Matlamat kami ialah menjadikan Kg Dew sebagai destinasi ekopelancongan bertaraf dunia menjelang 2015" katanya.
Sementara itu ketika menyertai ekspedisi eko-pelancongan kelip-kelip, Exco Kanan Kerajaan Negeri Perak Yb. Datuk Hamidah Osman mengumumkan berita gembira buat warga Kampung Dew yang sentiasa berusaha untuk memajukan industri berkenaan, iaitu kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM50,000 bagi menaiktaraf kemudahan eko-pelancongan kelip-kelip Kampung Dew yang mula diperkenalkan tiga tahun lalu.

"Kampung ini amat bertuah kerana dianugerahkan khazanah alam yang merupakan satu keindahan, jika dimanfaatkan ia boleh menjana pendapatan tambahan kepada masyarakat di sini. Saya ingin mengingatkan supaya 100 kaki dari tebing Sungai Sepetang tidak "diusik" kerana ia merupakan habitat kelip-kelip. Kita bersama-sama perlu jaga anugerah tidak ternilai ini," katanya.

Beliau yang juga bertanggungjawab terhadap industri pelancongan negeri meminta masyarakat di Kampung Dew sentiasa menjaga kebersihan.

"Saya difahamkan jika bernasib baik, kita juga berpeluang menyaksikan ikan lumba-lumba di muara Sungai Sepetang, kehadiran ikan lumba-lumba ini adalah ujian kepada tahap kebersihan air di situ. Ia ada jika air bersih, begitu juga kelip-kelip dan udang galah," katanya.

Beliau turut menambah promosi secara besar-besaran adalah aspek penting yang perlu diusahakan untuk memajukan eko-pelancongan di Kampung Dew antaranya menerbitkan brosur yang lebih bermaklumat serta meletakkan papan tanda besar di tempat strategik bagi memudahkan pelancong.
Selain itu peranan pemandu pelancong yang mesra, baik dan berpengetahuan adalah perlu bagi menarik kehadiran pelancong.

"Cerita dan kisah daripada pemandu pelancong turut memainkan peranan supaya pengunjung pulang dengan pengetahuan dan kisah yang menarik," katanya.


Khairul Salleh mengalu-alukan kehadiran para pengunjung untuk menikmati keindahan alam melalui pakej eko-pelancongan yang ditawarkan
oleh penduduk kampung dengan menghubunginya di talian 012-514 5023 dan emel ke amirulisa@yahoo.com.my atau melayari http://fireflyzone.blogspot.com untuk keterangan lanjut

1 comment:

  1. We have 133 Christmas trees that glow the whole year round.

    ReplyDelete