Tuesday, October 22, 2013

Jemputan lagi


Umum sudah tahu bahawa Taiping ialah Bandar Warisan dengan ikon pelancongan utamanya Taman Tasik, Zoo dan Zight Safari, Muzium Perak dan Bukit Larut. Mempunyai 33 perkara pertama di Malaysia Taiping juga bandar paling lembab dengan hujan dua kali lebih banyak dari purata tempat lain di Malaysia. 
Majlis Perbandaran Taiping melalui Zoo dan Night Safari mengambil langkah proaktif dengan mewujudkan program Zoo Renjer yang mana pengunjung boleh mendapatkan lebih ilmu mengenai binatang dan binatang nocturnal melalui penerangan mereka. Zoo Renjer dan para belia yang berminat juga dilatih untuk menjadi pemandu pelancong yang berilmu, ramah dan bermotivasi tinggi untuk menaikkan nama Taiping dalam bidang pelancongan.

Masih terdapat banyak lagi tempat menarik yang terdapat di Taiping dan sekitarnya yang masih belum diketahui umum.
Sebagai contohnya pekan Kuala Sepetang hanya 15 km dari Taiping menjadi terkenal dengan hidangan mee udang dan makanan laut yang segar. Di situ juga terletaknya Pusat Eko Pelajaran Hutan Paya Laut Matang yang mempunyai pelbagai kemudahan untuk para pelawat mengetahui dengan lebih lanjut mengenai ekosistem hutannya dan bagaimana pokok bakau menyesuaikan diri dengan keadaan air laut masin, berlumpur dan air pasang surut. Di sini juga terdapat banyak kilang arang kayu yang mana tidak ramai orang tahu bagaimana proses pembuatannya.
Bagi mengetahui lebih lanjut tentang hutan paya laut dan khazanah flora dan faunanya, pelancong boleh mendapatkan perkhidmatan pemandu pelancong Alam Semulajadi dari Kuala Sepetang Eco Track melalui sesawang www.kualasepetang.com untuk pakej-pakej lawatan menarik melibatkan aktiviti menaiki bot menyusuri sungai untuk melihat perkampungan nelayan, aktiviti nelayan, memerhati burung, burung helang, dolfin jika bernasib baik, menyauk kerang, memancing ikan, menangkul ketam. Waktu malam juga tidak sunyi di Kuala Sepetang. Setiap malam minggu terdapat pasar malam yang menyediakan pelbagai perniagaan dan aktiviti pelancongan diteruskan dengan aktiviti melihat kelip-kelip. Biasanya pelancong memilih aktiviti bot waktu siang, berehat sambil makan malam di restoran makanan laut dan selepas itu meneruskan aktiviti melihat kelip-kelip.

Satu Malaysia tahu akan kelazatan durian yang datang dari dusun-dusun tradisional di Batu Kurau. Namun ramai yang tak tahu di Batu Kurau juga menyediakan kawasan perkelahan jeram dan air terjun yang jernih dan menyejukkan. Terdapat 4 buah chalet yang menawarkan penginapan budget iaitu Chalet Kurau Stone, Chalet Seri Cempaka, Chalet Teratak Afrina dan yang terbaru Chalet Nor Cahaya Kg Repoh. 
Pelbagai aktiviti homestay kampung boleh dicuba seperti memasak lemang, ikan rempah, memetik ulam-ulaman yang tumbuh melata di sekeliling kampung, bermain dengan anak kambing sambil mengenalilah masyarakat Melayu Pattani yang peramah dan baik hati. 
Bagi yang menggemari sukan mendaki pula, anda boleh berkolobrasi dengan belia proaktif Batu Kurau bagi melalui pengalaman mendaki Banjaran Bintang dari Batu Kurau hingga ke Puncak Bukit Larut sambil melawat kawasan gua perlombongan bijih timah.
Pekan pagi Selasa sentiasa saja sesak dengan orang kampung membeli belah keperluan dapur hingga peralatan elektrik.

Zoo Taiping n Night Safari Tel: 605 - 8086577     Fax: 605 - 806 6025 
Kuala Sepetang Eco Track 012 5145023
Belia Proaktif Batu Kurau 013 4623827



No comments:

Post a Comment