Friday, June 14, 2013

Projek UKM Untuk Memulihara Kelip-kelip Kuala Sepetang Perak

RABU, 12 JUN 2013 12:38
Dipetik dari UKM News Portal
CetakPDF
Oleh Saiful bahri KamaruddinFoto Izwan Azman
KUALA SEPETANG, PERAK, 9 Jun 2013 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan negeri Perak mencatat satu kejayaan besar dalam usaha melindungi alam sekitar apabila berjaya melaksanakan fasa awal projek penanaman pokok bakau untuk memelihara habitat kelip-kelip atau kunang-kunang di Kampung Dew di sini.
Kerajaan Perak secara rasminya mengumumkan kejayaan projek kelip-kelip itu di sini hari ini sempena sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2013.
UKM dan masyarakat setempat digesa meneruskan projek itu untuk membiakkan kelip-kelip di situ dan Kerajaan Perak berharap habitat kelip-kelip di Kampung Dew akan diwartakan tidak lama lagi sebagai kawasan dilindungi.
Pengumuman itu dibuat oleh Exco Kesihatan, Pelancongan dan Kebudayaan Perak, Puan Norlee Ashikin Mohd Radzi ketika merasmikan projek itu di jeti Kampung Dew dari mana bot yang membawa pelawat boleh melihat tapak pembiakan kelip-kelip di tepi Sungai Sepetang.
Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UKM, Prof Dato' Dr Rahmah Mohamed; Dekan Fakulti Sains dan Teknologi, Prof Dr Shahrim Ahmad; Ketua Projek, Prof Madya Dr Norela Sulaiman; pegawai pelancongan negeri dan ketua-ketua kampung.
Masyarakat kampung telah mengambil bahagian dalam projek ini untuk menanam pokok bakau berhampiran Sungai Sepetang. Dianggarkan 90% daripada pokok bakau yang ditanam dalam makmal UKM telah berjaya dipindahkan ke tapak.
Tetamu kemudiannya dibawa melihat tempat pembiakan dengan bot.
Kelip-kelip Kampung Dew hinggap pada satu spesies pokok bakau, Pokok Berembang (sonneratia caseoraris). Sekitar seratus pokok Berembang telah ditanam lebih awal dalam usaha untuk membantu memulihara kunang-kunang itu.
Pemuliharaannya penting kerana ia adalah sebahagian daripada penyumbang besar kepada alam sekitar hutan tanah lembap dan habitat alam semesta yang lain. Larva kelip-kelip adalah pemangsa dan suka makan siput kecil hidup di kawasan tanah lembab di tepi sungai.

Kelip-kelip atau nama saintifiknya
 Pteroptyx Tener adalah keluarga lampyridae serangga kumbang dalam order coleoptera.  Ia adalah kumbang bersayap dan biasanya digelar kelip-kelip kerana kelihatan bercahaya atau (bioluminescence) pada abdomennya untuk menarik pasangan atau mengelirukan mangsa dan pemangsa. 
Kelip-kelip menghasilkan "cahaya sejuk", dengan frekuensi inframerah atau ultraungu. Ia adalah cahaya kimia yang dihasilkan dari bahagian bawah abdomen yang boleh kelihatan kuning, hijau, atau merah pucat.
Kira-kira 2,000 spesies kunang-kunang ditemui di kawasan iklim sederhana dan tropika. Mereka hidup di paya bakau atau tanah lembab dan kawasan hutan berpaya di mana larva atau ulatnya boleh mendapat sumber makanan dengan mudah.
Norlee berkata Kampung Dew adalah salah satu daripada tiga kawasan yang paling penting untuk perlindungan kelip-kelip di dunia. Yang lain adalah di Kuala Selangor dan Great Smoky Mountain National Park di Tennessee, Amerika Syarikat.
Beliau berkata jika kawasan itu digazetkan sebagai kawasan perlindungan, tindakan boleh diambil terhadap sesiapa yang mengancam kelip-kelip.
Prof Rahmah pula mencadangkan penyelidikan susulan dibuat untuk mengenal pasti kenapa kelip-kelip menyala secara bersama dan kadang kala menyala secara berirama.
Fenomena ini mungkin kerana kelip-kelip yang menyala secara bersama memberi isyarat tertentu atau menjalankan pengawanan.
Dr Norela pula berkata kelip-kelip biasanya menyala bersama jika dalam kumpulan besar. Ia mungkin berkaitan sifat pemakanan serangga itu, interaksi sosial dan ketinggian kawasan. Ia boleh hidup selama 30 hari tanpa makan. Kelip-kelip jantan mati selepas pengawanan manakala yang betina mati selepas bertelur.

Beliau menerangkan kelip-kelip sangat penting sebagai penunjuk penghidupan atau bio-indicator yang baik yang dapat memberi penunjuk kualiti alam sekitar apabila iklim berubah seperti pemanasan global. Ia mudah dilihat pada waktu malam.
Dari segi sosio-ekonomi pula, kelip-kelip penting kerana ia boleh menjadi tarikan pelancong ke negara ini. Sebab itu kelip-kelip perlu dilindungi. Apabila kelip-kelip diwartakan sebagai haiwan lindungan, kawasan paya juga dilindungi.
Kg Dew juga terkenal dengan udang GALAHnya. Ia hidup dalam air tenang Sungai Sepetang yang mengalir di kampung itu. Udang sudah lama menjadi sumber pendapatan orang kampung di situ.
Walaubagaimanapun, eko-pelancongan masih belum menjadi sumber pendapatan yang penting. Dr Norela percaya kelip-kelip di hutan bakau di situ akan membawa satu era baru untuk kemajuan ekonomi Kg Dew.
Kampung Dew, yang terletak di sebelah barat Kamunting, Taiping berhampiran dengan plaza tol PLUS Taiping Utara Exit 148 sepanjang jalanraya lama, pada asasnya adalah sebuah perkampungan nelayan yang juga terkenal dengan industri arang kayu.
Dipetik daripada UKM NEWS PORTAL

1 comment: