Saturday, November 10, 2012

Kawasan kelip-kelip Sg. Sepetang bakal diwartakan untuk pemuliharaan



ARKIB : 03/11/2012

Utusan Online

IPOH 2 Nov. - Kawasan eko-pelancongan kelip-kelip di Kampung Dew, Taiping dekat sini bakal diwartakan untuk tujuan pemuliharaan alam sekitar.
Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan, Usahawan, Pelancongan, Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita negeri, Datuk Hamidah Osman berkata, untuk tujuan itu peruntukan sebanyak RM11,740 diberikan kepada Malaysian Nature Society (MNS) bagi melakukan sukatan dan pemetaan di kawasan berkenaan.
Katanya, hasil sukatan dan pemetaan yang dilakukan oleh MNS itu nanti akan dibawa ke mesyuarat Exco kerajaan negeri sebelum kawasan berkenaan boleh diwartakan.
"Apabila kita wartakan kawasan ini, kita boleh menguatkuasakan syarat dan peraturan berkaitan apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan di kawasan berkenaan.
"Melalui pewartaan itu nanti, kita akan mewujudkan zon penampan sebagai kawasan habitat dan pemeliharaan kelip-kelip iaitu kira-kira 15 meter yang merangkumi di kiri dan kanan tebing sungai," katanya setelah menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Tourism Perak dan Persatuan Kelip-kelip Cahaya Perak (Kecap) sempena Pesta Kelip-kelip 2012.
Turut hadir pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Musa Don serta Setiausaha Tourism Perak dan Persatuan Kelip-kelip Cahaya Perak (Kecap), Shukor Ishak.
Hamidah berkata, usaha itu dilakukan bagi memelihara habitat kelip-kelip yang bukan sahaja merupakan aset kepada pelancongan negeri tetapi menjadi tarikan orang ramai yang mahu melihat kelip-kelip hinggap di atas pokok berembang.
Tambahnya, kerja-kerja sukatan dan pemetaan itu dijangka memakan masa kira-kira dua minggu dan ia dijangka berkuat kuasa awal tahun depan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Utara/20121103/wu_03/Kawasan-kelip-kelip-Kg-Dew-diwartakan-untuk-pemuliharaan#ixzz2Bp1dbnrX
© Utusan Melayu (M) Bhd 

1 comment: