Monday, October 29, 2012

Karnival Pelancongan Taiping 2012


ARKIB : 26/10/2012 Utusan Online

Karnival Pelancongan Taiping 2012 selama sebulan mulai Disember

HAMIDAH Osman (empat dari kiri) menyampaikan cek tajaan promosi pelancongan Perak kepada Kamaruzaman Yusof (tiga dari kanan) ketika majlis penyerahan replika cek dan risalah melawat Perak 2012 dan Jom Terokai Perak di Ipoh, semalam.

IPOH 25 Okt. - Kerajaan negeri dengan kerjasama Majlis Perbandaran Taiping akan menganjurkan Karnival Pelancongan Taiping 2012 (KPT 2012) selama sebulan bermula 1 Disember depan.
Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita negeri, Datuk Hamidah Osman berkata, program yang dianjurkan khusus bagi mempromosi daerah Taiping sempena Tahun Melawat Perak (TMP) 2012 itu, diharap dapat meningkatkan kunjungan pelancong dari dalam dan luar negara.
Katanya, program tersebut merupakan kesinambungan program yang dirangka untuk TMP 2012 dengan membabitkan kluster pelancongan terpilih di negeri ini.
''Pelbagai aktiviti telah disusun sepanjang tempoh karnival berkenaan berlangsung termasuklah Zoorama, pameran orkid Taiping, pertandingan fotografi, kayuhan warisan dan '1Malaysia remote control fun day'.
''Selain itu, orang ramai turut berpeluang memasuki pertandingan mewarna, cabutan bertuah dan menyaksikan pameran kereta antik serta pelancaran pameran hutan hujan tropika Malaysia," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Tourism Perak dan Majlis Perbandaran Taiping sempena KPT 2012 di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, kerajaan negeri melalui Tourism Perak yang diwakili Pengurus Acara Tourism Perak, Zuraida Md. Taib menyerahkan replika cek bernilai RM160,000 kepada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping, Shahrom Abd. Malik bagi menjayakan karnival berkenaan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Utara/20121026/wu_04/Karnival-Pelancongan-Taiping-2012-selama-sebulan-mulai-Disember#ixzz2AgLw19Zk
© Utusan Melayu (M) Bhd 

1 comment:

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete