27/03/2012 00:00:00
Petaling Jaya, 10 April 2012 – Sempena menyambut Tahun Melawat Perak 2012, TV3 menampilkan sebuah program travelogue terbaru ‘Jom Terokai Perak’ dengan kerjasama kerajaan negeri Perak dan Tourism Perak. Program yang dihoskan oleh Maria Tunku Sabri ini akan membawa penonton mengembara ke setiap persegi negeri Perak Darul Ridzuan yang sememangnya kaya dengan tradisi, sejarah, pelancongan, aneka makanan, seni kebudayaan dan kraftangan.

Diambil sempena nama Bendahara Tun Perak yang berjaya menaikkan nama Melaka sebelum kedatangan penjajah Portugis, Negeri Perak cukup sinonim dengan keindahan 10 ikonnya iaitu Taman Negeri Royal Belum, Hutan Paya Bakau Matang, Gua Tempurung, Taman Herba Perak, Hot Spring Sungai Klah, Pulau Orang Utan, Zoo Taiping & Night Safari, Pulau Pangkor, Bandar DiRaja Kuala Kangsar dan The Limestone Wonder, Ipoh.


Kembara ‘Jom Terokai Perak’ menuju ke bandar kedua terbesar negeri Perak iaitu Taiping yang mempunyai populasi hampir 200,000 orang penduduk. Terletak di bahagian utara negeri Perak, Taiping juga merupakan destinasi tarikan pelancong yang mendapat tumpuan. Bukit Larut, dahulunya dikenali dengan nama ‘Maxwell Hill’ merupakan kawasan peranginan tanah tinggi tertua di Malaysia dan masih mengekalkan suasana kolonial dengan rumah banglo dan taman konsep Inggeris.
Zoo Taiping mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Ia terletak di dalam kawasan semulajadi di Taman Tasik Taiping berhampiran kaki Bukit Larut. Keindahan alam semulajadi yang menawan seperti aliran anak sungai, tasik dan kehijauan flora menambahkan lagi keunikan Zoo Taiping. Merupakan zoo awam pertama dan tertua yang dibuka di Malaysia, zoo seluas 34 ekar ini mempamerkan lebih 180 spesis binatang.
Masih di Taiping, perjalanan ‘Jom Terokai Perak’ diteruskan di Kuala Sepetang yang cukup popular dengan Mee Udang dan saksikan kelip kelip yang menerangi pokok berembang di Kampung Dew. Kuala Kangsar, Bandar DiRaja dan bersejarah bagi negeri Perak Darul Ridzuan merupakan kawasan pelancongan yang mempunyai pelbagai produk-produk tempatan dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS). Penonton dapat melihat tempat-tempat menarik, contohnya, Istana Iskandariah, Masjid Ubudiah, Galeri Sultan Azlan Shah dan banyak lagi. Di Kuala Kangsar juga penonton dapat menyaksikan industri kraftangan Labu Sayong, Keris, Tekat dan Arca Besi.

Majlis Pelancaran program ‘Jom Terokai Perak’ dirasmikan oleh YAB Dato' Seri DiRaja Dr. Zambry Abdul Kadir, Menteri Besar Perak, YB Dato’ Hamidah Osman, Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Pelancongan, Hal Ehwal Wanita Dan Kebajikan Negeri, serta YBhg Datuk Johan Jaafar, Pengerusi Media Prima Berhad.
No comments:
Post a Comment