Enam Kluster Dikenalpasti Bagi Tujuan Promosi TMP 2012
Promosi bagi Tahun Melawat Perak (TMP) 2012 akan dipergiat mengikut enam kluster melibatkan 10 ikon yang telah ditetapkan di seluruh negeri, kata Exco Pelancongan Datuk Hamidah Osman.
Katanya enam kluster tersebut merangkumi Ipoh (Gopeng, Batu Gajah, Kampar), Taiping (Matang, Kuala Gula, Kuala Sepetang, Larut), Kuala Kangsar (Sungai Siput), Royal Belum-Lenggong, Pulau Pangkor – Lumut dn Teluk Intan (Kampung Gajah, Perak
Tengah).
Tengah).
“Kluster pelancongan ini dirancang dalam bentuk pamplet meliputi jejak warisan, pelancongan dan alam sekitar yang merangkumi informasi melibatkan destinasi menarik, makanan, tempat tinggal dan pengangkutan.
“Sepuluh ikon pelancongan negeri pula meliputi bandar raya Ipoh, Zoo Taiping, Kuala Kangsar, Hutan Royal Belum, Pulau Orang Utan Bukit Merah, Air Panas Sungai Klah, Gua Tempurung, Hutan Paya Bakau Matang dan Taman Herba,” katanya.
Beliau menjawab soalan lisan Datuk Rusnah Kassim (BN-Hulu Kinta) dalam Sidang DUN, hari ini yang meminta penjelasan tempat-tempat yang akan dipromosi oleh negeri sempena Tahun Melawat Perak 2012.
Bagaimanapun, ketika menjawab soalan tambahan , beliau mengakui masih terdapat kelemahan di peringkat hadapan (frontliners) melibatkan petugas-petugas di Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) di negeri ini dalam menyampaikan maklumat terutamanya kepada pelancong.
Sehubungan itu katanya, satu kursus intensif selama sehari telah dijalankan melibatkan golongan tersebut termasuk pihak hotel, pemandu teksi dan penyedia produk pelancongan selain mewujudkan 10 kiosk interaktif di pusat-pusat awam termasuk di stesen kereta api dan lapangan terbang.
Selain itu katanya, setiap di hotel di negeri ini juga bakal diwajibkan untuk menghidang menu utama terkenal Perak seperti limau Tambun dan kopi putih Ipoh supaya ia dapat terus dipromosi dan dikenali oleh pengunjung terutamanya pelancong asing.
“ Tidak kena rasanya jika menu limau Tambun tidak dihidangkan kepada setiap pelancong yang datang memandangkan ianya telah menjadi ikon negeri Perak sejak sekian lama,” katanya.
-peraknews
No comments:
Post a Comment