Thursday, November 10, 2011

Arang terbaik Asia



KOSMO:RENCANA UTAMA


Arang terbaik Asia

Permintaan kayu arang Kuala Sepetang agak tinggi terutama dari Jepun dan Korea Selatan. Harganya secara pukal boleh mencecah sehingga RM2,280 setan.






PERUSAHAAN kayu arang sudah menjadi darah daging penduduk setempat sejak lapan dekad lalu.


KUALA Sepetang dahulunya dikenali sebagai Port Weld. Tapak stesen kereta api terawal negara itu juga sinonim dengan kelazatan mi udang.
Namun, ada satu perkara yang mungkin tidak diketahui ramai tentang mukim yang terletak di daerah Larut, Matang dan Selama itu. Ia juga sebenarnya terkenal dengan industri kayu arang.
Perusahaan pembuatan kayu arang di Kuala Sepetang sudah menjadi darah daging penduduknya sejak 1930-an. Tradisi itu tidak menghairankan kerana pesisir perkampungan nelayan itu dikelilingi kira-kira 40,711 hektar hutan paya bakau.
Setelah hampir lapan dekad, kayu arang Kuala Sepetang dianggap antara yang terbaik di Asia. Malah, ia masih mendapat permintaan yang tinggi hingga ke pasaran antarabangsa.
Pada masa ini, dianggarkan terdapat 80 pengusaha kayu arang dengan 360 dapur masih beroperasi di kawasan tersebut.
Pemilik syarikat C.K Choo dan Anak-Anak Sdn. Bhd, Choo Han Seng, 46, memberitahu, kilang pembuatan kayu arang yang beliau warisi itu dibuka oleh datuknya.


DAPUR membakar arang yang berbentuk seperti iglu.



Lelaki yang bertubuh gempal itu memberitahu, setahunya kilang tersebut sudah beroperasi sejak 1940-an lagi.
"Saya masih ingat pada awal 1980-an, beberapa pengusaha kayu arang di sini agak bimbang industri pembuatan kayu arang akan merosot teruk berikutan penggunaan dapur gas dan elektrik yang kian meluas pada masa itu.
"Namun setelah hampir tiga dekad berlalu, ramalan itu ternyata meleset. Permintaan masih lagi tinggi terutama dari luar negara malah kalau nak diikutkan memang pengeluaran tak cukup ekoran kami terikat dengan sistem kuota yang ditetapkan Jabatan Perhutanan Perak," katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Han Seng berkata, jabatan yang menguruskan hutan paya bakau terbabit sejak 1902 itu menetapkan setiap pelesen kayu arang hanya dibenarkan untuk menebang kira-kira 2.3 hektar pokok bakau bagi setiap dapur yang dimiliki.
Bagi kilangnya, beliau dibenarkan menebang kayu bakau di beberapa tempat di sekitar Matang, Kuala Sepetang, Selinsing dan Kuala Gula.
Katanya, sejurus diteroka, pelesen juga diwajibkan untuk menanam semula anak pokok bakau di kawasan terbabit dan ia tidak boleh diganggu. Pokok itu perlu dibiarkan membesar secara semula jadi dalam tempoh tiga tahun.
Menurutnya, menerusi rancangan tiga tahun itu, Jabatan Perhutanan Perak telah membahagikan kawasan hutan paya bakau berkenaan kepada tiga kawasan iaitu Kuala Sepetang, Kuala Trong dan Sungai Kerang.


HANYA pokok bakau yang berukur lilit lapan inci ke atas daripada jenis minyak dan kurap digunakan untuk membuat kayu arang.



"Kalau tidak disebabkan kuota yang ditetapkan jabatan perhutanan itu, mungkin banyak lagi pokok bakau yang akan ditebang setiap tahun demi memenuhi permintaan terutama dari luar negara.
"Tapi kami faham peraturan itu adalah bagi memastikan kitaran hutan paya bakau terbabit terpelihara. Berniaga, berniaga juga tapi alam sekitar kena dijaga," katanya sambil ketawa.
Hang Seng yang fasih berbahasa Melayu loghat Perak berkata, permintaan kayu arang dari luar negara agak tinggi terutama dari Jepun dan Korea Selatan dan harganya secara pukal boleh mencecah sehingga RM2,280 setan.
Hampir 70 peratus daripada pengeluaran kayu arang di Kuala Sepetang diimport ke dua negara Asia Timur itu, manakala selebihnya untuk pasaran tempatan.
Begitupun, Han Seng mengakui permintaan dalam negara untuk kayu arang agak menurun sejak kebelakangan ini. Kebanyakannya di hantar ke bandar-bandar utama seperti Ipoh, Kuala Lumpur dan Alor Setar.
"Kalau nak harapkan permintaan dalam negara memang susah nak cari makan. Orang kita anggap kayu arang hanya untuk memasak. Sebab itulah kebanyakan pelanggan saya di seluruh negara merupakan penjual sate dan ikan bakar," katanya sambil tersenyum sinis.
Senario ini jauh berbeza dengan pengimport antarabangsa khususnya dari Jepun. Han Seng memberitahu, dengan teknologi yang lebih moden dan canggih, kayu arang dikomersialkan secara meluas dalam pelbagai industri lain.
Antaranya sebagai salah satu bahan yang digunakan untuk penghasilan ubat gigi, sabun dan alat kosmetik.
Serbuk kayu arang juga dimanfaatkan sebagai agen menstabil dan menyuling dalam industri air mineral dan selain dipakai secara meluas sebagai bahan pembersih dalam kerja-kerja penyelenggaraan penghawa dingin.
"Saya juga difahamkan ada di antara produk berkenaan yang menggunakan kayu arang dari Kuala Sepetang diimport kembali ke negara ini," katanya sambil memerhatikan pekerjanya memasukkan keratan kayu bakau baru ke dalam salah sebuah dapur milik syarikatnya.
Salah seorang pekerja kilang kayu arang terbabit, Alias Abdul Rahman, 49, tampil menceritakan proses pembuatan kayu arang.


INDUSTRI kayu arang di Kuala Sepetang, Perak sudah mencecah lapan dekad.



Beliau yang berpengalaman selama hampir tiga dekad dalam kerja itu menerangkan bukan semua spesies bakau sesuai dijadikan kayu arang.
Hanya pokok bakau daripada jenis minyak (Rhiziphora apiculata) dan kurap (Rhizophara mucronata) saja boleh digunakan manakala yang lain kurang sesuai.
"Dibakar pada suhu tinggi merupakan asas utama penghasilan kayu arang. Selain minyak dan kurap, kayu bakau lain tidak tahan dan akan menjadi debu kalau melalui proses itu kerana komposisi batangnya yang lembut dan tidak teguh," katanya.
Biasanya hanya pokok bakau yang berukur lilit lapan inci ke atas dipilih untuk ditebang. Sesudah ditebang, batang pokok tadi dibelah menjadi keratan kecil sepanjang kira-kira empat meter setiap satu.
Ia kemudian dibawa ke kilang dengan menggunakan tongkang dan selepas itu batang kayu bakau disiat kulitnya.
Kayu bakau tersebut akan dimasukkan secara menegak ke dalam dapur tanah liat dan bata berbentuk iglu yang mempunyai diameter 6.7 meter.
Beliau berkata, setiap dapur boleh memuatkan kira-kira 14,000 hingga 15,000 batang kayu bakau seberat 40 tan kayu bakau pada satu-satu masa.

Api kecil
5 Proses Pembakaran Arang
MK Masuk Kayu
AB  7 hari Api besar
AK  15 hari Api kecil
TA  Tutup api 8 hari Proses penyejukan
KA  Keluar arang
(Satu pusingan mengambil masa sebulan)

 Resipi Pembinaan Dapur Arang Kayu Anggaran kos RM18,000

30,000 batu bata merah
Selori tanah merah bermutu tinggi
Selori pasir halus
 Proses Pembinaan Dapur Arang Kayu
Campuran tanah merah dan pasir dijadikan pemangkin atau gam.
Mengambil masa 3 minggu untuk disiapkan oleh seorang pakar dan dibantu 2 pekerja
Upah menyiapkan satu dapur arang ialah RM7,000
Pekerja yang mahir membuat dapur arang ini berdasarkan pengalaman saja tanpa menggunakan sebarang mesin atau alat ukur moden.
Boleh bertahan selama 17 tahun atau lebih bergantung pada kesesuaian tanah dan tapak

3 comments: