Saturday, October 1, 2011

Kawasan Perkelahan Sungai Larah, Bukit Gantang

Tarikh: 1 Oktober 2011 Sabtu
Hari ini kami akan melawat Norafifah yang belajar di Sekolah Raja Permaisuri Bainun di Ipoh. Pagi lagi isteriku Maria sibuk di dapur memasak sambal udang dan lauk yang lain.
Hari ini juga sekolah di depan rumah SK Taman Jana mengadakan Hari Usahawan. Peluang ini aku gunakan untuk menjual basikal Norhafizah yang lama tidak digunakan. Norhafizah sekarang menggunakan basikal BMX merah yang dimenangi dari pertandingan NILAM SK Sultan Yussuf AMD tahun 2010.
Basikal biru ini pula ialah hadiah dariku sempena Hari Anugerah SK Sultan Yussuf AMD 2009 di mana Norhafizah mendapat banyak hadiah kecemerlangan pendidikan. Dapat jual dengan harga RM 60 di mana RM 10 didermakan kepada sekolah. Dibeli oleh En. Azri Jurulatih Sukan Pulmat.
Kami sampai ke asrama SMK Raja Permaisuri Bainun jam 12 tengah hari dan terus menjamah bekalan yang dibawa. Kisahnya semua penghuni asrama makan di kantin kerana Dewan Makan disita berikutan kes keracunan makanan. Oleh kerana terlalu asyik makan hingga terlupa nak ambil gambar.

Aku telah berjanji dengan Amirul untuk berkelah di Sungai Larah, di kaki Bukit Berapit. Kalau dari tol Kuala Kangsar, ikut jalan lama menghala Utara, turun dari Bukit Berapit 1 km dari jejantas keretapi sebelah kiri. Boleh nampak dari jalan. Kawasan ini merupakan laluan sungai di bawah lebuhraya PLUS. Ada tiga tingkat air terjun di sini dan tiga tingkat lagi air terjun di seberang lebuhraya.
Dalam keadaan yang panas terik, adalah amat melegakan dapat menyejukkan diri dengan kedinginan air yang mengalir dari banjaran gunung. Hilang rasa mengantuk yang amat mencengkam semasa memandu di lebuhraya tadi.

Ketika sampai aku dapat memerhatikan rama-rama cantik yang menghisap larutan dari kawasan berpasir. Bahagian atas kepak berwarna putih tetapi bahagian bawahnya lebih menyerlah warna kuning, putih dan garis hitamnya.



Terlihat juga sarung serangga dan pepatung yang begitu jinak sekali
Memang lain suasananya memandu di lebuhraya dan jalan biasa. Jalan biasa lebih sejuk dengan pokok-pokok tinggi di kiri dan kanan jalan. Kami singgah di pekan Taiping untuk menikmati Lee Chee Kang di Bangunan Larut. Minuman ini memang menyejukkan badan dan lazat sekali.






No comments:

Post a Comment